Tuesday, January 27, 2009

Rasuah Politik? Hentikan UMNO `bashing' wahai Pak Lah


Tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membanteras politik wang atau rasuah politik di dalam UMNO tidak disambut baik oleh majoriti ahli UMNO. Kebanyakan mereka menyatakan sudah cukup UMNO mempunyai Lembaga Disiplin parti untuk menentukan kesalahan ahli-ahli parti.(walaupun dalam kes Datuk Ahmad Zaki, Ketua Pemuda Bahagian Putrajaya, beliau dilepaskan dengan amaran biarpun didapati bersalah.)

Ada beberapa keluhan ahli UMNO ketika ini yang rata-rata marahkan Pak Lah. Mereka mahu UMNO bashing dihentikan serta merta. Melihat pemimpin UMNO digari dan dibicarakan oleh media sebelum keputusan mahkamah cukup memalukan. Dalam keadaan UMNO lemah, tindakan SPRM dan media bukan sahaja memberi lebih peluru kepada pembangkang tetapi semakin melemahkan UMNO dan merosakkan persepsi golongan muda serta masyarakat terhadap UMNO.

Butakah Pak Lah? Butakah Najib?

Sudahlah pemimpin UMNO yang ingin menawarkan diri disekat dari berkempen dengan pelbagai peraturan yang ketat dan tidak munasabah di dalam kod etika parti, keprihatinan calon terhadap perwakilan dalam menjalankan kempen juga disekat dan dihalang.

Bagaimanakah calon hendak memeperkenalkan diri jika mereka disekat dari berkempen? Bagaimanakah lagi cara mereka hendak melatih diri berkempen menentang pembangkang jika mereka tidak didedahkan sekarang?
Sekiranya mereka hendak berjumpa perwakilan, salahkah mereka bersifat prihatin dengan membelanja perwakilan makan dan memberi sedikit duit minyak? SEDIKIT - boleh didefinisi dan ditentukan oleh Lembaga Disiplin parti.

Jika seorang calon hendak berjumpa perwakilan negeri Johor di Johor Baharu, tidakkah beliau sepatutnya prihatin dengan kesulitan para perwakilan yang perlu datang untuk menemui beliau dari bahagian-bahagian yang jauh dari Johor Baharu? Salahkah penat lelah perwakilan dilegakan dengan makanan dan minuman? Apa beza amalan memberi duit minyak kepada ahli yang datang dari jauh semata-mata ingin menghadiri program yang dihadiri atau dirasmikan oleh Pak Lah dan Datuk Najib sendiri?

Jika sebelum terpilih calon tidak prihatin kepada kesulitan dan penat lelah perwakilan, calon ini bukan seorang pemimpin prihatin yang mungkin tidak seharusnya kita pertimbangkan. Lainlah kalau apabila calon berjumpa perwakilan di Shah Alam, tetapi memberi sehingga RM 500 kepada perwakilan Bahagian Shah Alam yang tinggal berhampiran. Ini RASUAH.
Tulisan ini bukan untuk menghalalkan rasuah politik, tetapi lebih untuk menyelamatkan imej parti. Janganlah kita menafikan hakikat bahawa dalam keadaan UMNO yang lemah ini, ramai perwakilan yang inginkan yang terbaik untuk parti. Perwakilan bukan bodoh. Jangan kita terlalu awal membuat kesimpulan bahawa semua yang di dalam UMNO memilih pemimpin kerana wang. Sebaliknya ramai yang mahu pemimpin yang berkualiti; iaitu yang dapat berkhidmat bukan sahaja kepada parti tetapi kepada ahli dan masyarakat. Masih ramai perwakilan yang boleh berfikir dengan jelas dan tidak akan dikaburi dengan wang ringgit.

Demi masa depan parti, definisikan dengan jelas rasuah politik. Tingkatkan peranan Lembaga Disiplin. Ubah mekanisme pemilihan pemimpin parti. Tidak perlu SPRM dan media untuk membanteras gejala ini. Hentikan UMNO bashing!!!

No comments:

Post a Comment